Monday, December 29, 2008

Kenapa Sains dan Matematik Di Inggeriskan

Gobi, Cardiff, United Kingdom

Saya tertarik untuk mengulas isu ini yang walaupun telah lama di bangkitkan tetapi tampak semakin hangat kini. Membaca dan mendengar komentar daripada kedua-dua pihak, yang satu mengunjurkan keperluan bahasa Inggeris untuk kemodenan dan yang sebelah lagi melontarkan premis bahasa jiwa bangsa.

Saya percaya kedua-dua pihak mempunyai niat terbaik agar umat Melayu dan Malaysia maju jaya , jadi saya simpulkan ini adalah persefahaman pertama antara kedua-dua pihak. Persefahaman kedua yang saya dapat simpulkan daripada rentetan perdebatan lantang di media ialah betapa pentingnya bahasa Inggeris sebagai lingua franca kini dan juga bahasa Melayu sebagai lidah rasmi negara.

Persefahaman terakhir yang saya dapat noktahkan, ialah betapa pentingnya kefahaman dalam subjek Sains dan Matematik sebagai pemangkin kemajuan bangsa dan negara.

Bertolak daripada ketiga-tiga persefahaman ini, saya percaya perselisihan utama sebenarnya adalah kaedah untuk mencapai matlamat suci ini dan dengan penjernihan persefahaman ini, saya percaya diskusi tentang kaedah untuk mencapai matlamat ini akan lebih sirna.

Pada pendapat saya, langkah kerajaan untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai pengantar Sains dan Matematik adalah satu langkah yang terkebelakang, melunturkan ketiga-tiga persefahaman di atas yang akhirnya boleh membantutkan tercapainya matlamat kemajuan Melayu dan Malaysia.

Ini kerana kedua-dua subjek yang di eksperimenkan ini, Sains dan Matematik adalah subjek yang memerlukan daya cerapan, pemahaman dan minat yang tinggi untuk di selami. Bahkan saya percaya, masalah kekurangan minat pelajar terhadap subjek-subjek ini telah beberapa kali di war-warkan semenjak tahun 1990-an lagi.

Jadi, adakah dengan penggunaan bahasa Inggeris sebagai pengantar dalam subjek ini boleh meningkatkan minat, cerapan dan kefahaman pelajar terhadap subjek ini? Saya olah semula persoalan ini dalam situasi kini, adakah dengan penggunaan bahasa Inggeris lintang pukang oleh guru yang beliau sendiri tunggang langgang boleh meningkatkan minat, cerapan dan kefahaman pelajar generasi pendukung bangsa kita?

Kajian UNESCO dan ahli-ahli akademik sebelum ini jelas menyimpulkan kepentingan bahasa pribumi (native tongue) dalam menyampaikan dan menarik minat tunas-tunas muda terhadap subjek teknikal sebegini terutama yang datang daripada golongan kurang mampu.

Saya cuba untuk tidak menjadi terlalu pesimis tapi saya percaya hasil yang akan kita lihat nanti ialah kedua-dua subjek ini akan menjadi subjek yang paling tidak popular di sekolah, dan mereka yang mempelajarinya akan berbalik kepada budaya hafalan kerana kurangnya kefahaman terhadap teks dan juga ketidakupayaan guru untuk menerangkan dengan jelas persoalan yang timbul oleh minda muda ini.

Hasil akhir yang akan kita lihat ialah negara pada masa depan akan menghadapi krisis kekurangan tenaga saintis, jurutera, doktor, ahli farmasi dan lain-lain sarjana sains akibat kedangkalan kita kini yang gagal menerapkan ilmu sains dan matematik sebaiknya kepada mereka. Lantas, apakah kerjaya mereka di masa depan? Barangkali pemandu pelancong atau operator telefon di syarikat multinasional.

Oleh itu, langkah terbaik untuk memajukan bangsa dan negara kita, di samping memastikan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan masyarakat kita tidak lain tidak bukan ialah dengan bertanya kembali, di manakah pincangnya usaha pengajaran bahasa Inggeris kita di sekolah selama ini?

Adakah lapan jam seminggu masih tidak cukup? Adakah guru-guru bahasa Inggeris kurang terlatih? Adakah teknik pengajaran mereka kurang betul? Adakah bahan pengajaran kita tidak betul?

Sekiranya kita telesuri kembali, warga Malaysia sebenarnya telah di ajar bahasa Inggeris sebanyak lebih 3000 jam semenjak sekolah rendah sehingga ke peringkat SPM, jauh lebih banyak daripada kursus persediaan bahasa Jepun, Perancis atau Russia untuk pelajar Malaysia yang akan ke negara-negara terbabit untuk melanjutkan pelajaran jadi di manakah silap kita?

Kelemahan-kelemahan sedia ada inilah yang harus di perbaiki dan di pertingkatkan dan bukannya menebuk labu lain.

No comments: