Saturday, January 10, 2009

BI Sains dan Matematik, ramai resah kini

Ibha,Kota Bahru.

Banyak telah diperkatakan mengenai pengajaran Matematik dan Sains (MS) dalam Bahasa Inggeris (BI). Kementerian Pelajaran (KP) telah memperlihatkan keresahan yang ketara.

Sebagai bekas seorang guru di Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah mengajar BI, Sejarah, Siviks dan guru kaunseling, Penolong Kanan dan Pengetua, saya rasa amat bersalah jika tidak menyatakan sesuatu mengenai hal ini.

Pertama: Ke mana arah dan hilangnya pedoman dalam 'Penyata Razak (ayah Najib)' dan Penyata 'Rahman Talib (ayah Fauzi)'?

Apakah kedua-dua penyata ini tidak bermatlamat. Inilah untuk perpaduan dalam sebuah negara bernama 'Malaysia'.

Adakah penyata tersebut ada menyatakan BI sebagai bahasa pengantar dalam mana-mana sekolah dan mata pelajaran? Inilah yang dikatakan 'melampau' bila ada suara yang bukan sahaja mempertahan pengajaran MS dalam BI malah ada yang mencadangkan pengajaran semula semua matapelajaran dalam BI,dengan kata lain kembalikan semula sekolah Inggeris!

Setelah 51 tahun merdeka, ini yang timbul. Kalau begitu kembalilah ke zaman penjajah 'baru' pula. Kita kembalikan Sekolah Melayu, Sekolah Inggeris, Sekolah Cina dan Sekolah Tamil! Barulah kita nampak dengan jelas, siapa di mana dan kemana.

Sepertilah dengan keadaan siaran berita di kaca TV sekarang, berita Melayu menghentam dan memburukkan negeri-negeri di perintah pembangkang dan ahli-ahli pembangkang, berita Cina memfokuskan perniagaan dan Negeri Cina manakala berita Tamil memfokuskan keadaan orang India dan negeri India.

Kedua: Guru yang diarah untuk mengajar MS adalah berkelulusan melalui pembelajaran di sekolah rendah, menengah, universiti, maktab, diploma menggunakan bahasa Melayu (rujuk artikal dalam Harakah bil:1376 - ms F11).

Macamana boleh ini tidak terfikir oleh perancang di KP yang saya tahu amat profesional! atau mungkin mereka terpaksa atau dipaksa aataupun 'bermuka-muka' kesian guru-guru yang 'terpaksa' menerima imbuhan(rasuah) elaun 10%/5% kerana mengajar MS dalam BI!

Guru Bahasa Inggeris pula dibebani untuk mengajar, membimbing, menguji guru MS, tugas hakiki mereka untuk mengajar BI kepada kumpulan sasar sebenar iaitu 'pelajar' sedikit sebanyak amat terjejas. Mereka juga digula-gulakan dengan elaun 10/5%! Mereka ada kesatuan tetapi 'tutup mulut'dan individu pula dengan sikap 'pegawai kerajaan' yang 'taat di bawah perintah' itulah hakikatnya.

Ketiga: Pelajar, adalah golongan yang bakal mewarisi kita. Kalau diimbas kembali pendapat-pendapat mengenai isu ini rata-rata datangnya dari golongan elit, atau paling tidak berada di bandar. Ini termasuklah pekan kecil Kota Bharu, Bandaraya Kuala Terenggnu juga ibu kota kesayangan semua Kuala Lumpur.

Adakah mereka ini pernah tinggal sekurang-sekurangnya 'sebulan' di Kota Belud, Paloh, Ulu Tembeling, Kuang dan Rengit(bukan Batu Pahat)?

Pengalaman saya di empat buah negeri di Malaysia sudah cukup untuk saya berfikir bahawa 'perpaduan' adalah mesti melalui 'bahasa kebangsaan'.

Data yang menyatakan hanya 30% sahaja yang tidak dapat menguasai BI dalam pengajaran MS perlu disemak semula!

Kalau diukur dari kejayaan bekas produk pengantar bahasa kebangsaan ini, mereka telah juga berjaya, di dalam 'the Star' umpamanya ada berbagai pendapat dan ulasan: antara yang menyokong kekal dengan BI, menyebut hasil dari dirinya melalui 'Remove Class'. Saya juga dari produk itu tetapi siapa dia, dan siapa saya.

Ada jua yang merasai kita telah banyak 'berbelanja' untuk lima tahun yang lalu. Habis, berpadukah kita sekarang? Adakah kita sanggup untuk terus mengabaikan generasi yang kalau diizinkan akan mewarisi kita beratus malah beribu tahun lagi ke hadapan. Kalau berbilion RM boleh hanyut begitu sahaja, angka ini amat kecil untuk ikut serta!

Ulasan 'kejayaan' melalui sistem ini adalah seorang yang amat berjaya di Australia (the Star) serta siapa yang sedang memegang jawatan tertinggi dalam apa bidang sekalipun, mereka termasuklah yang bukan sahaja memiliki PhD dari universiti-universiti terkemuka di luar negara tetapi yang mendapat pengiktirafan bertaraf dunia!

Kalau mereka telah berjaya melalui sistem kebangsaan ini, mengapa perlu sangat kita berubah ke sistem yang 'menghancurkan' majoriti generasi kita. Ingat, tidak semua orang Malaysia akan ke United Kingdom, ke USA. Ada yang hendak ke Jepun, Perancis, Mesir, Russia atau tetap tak keluar Malaysia pun!

Wednesday, January 7, 2009

Peluang 43,000 Pilih Pencen

Utusan Malaysia
Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL

SEREMBAN 25 Okt. - Seramai 43,000 kakitangan kerajaan yang mengambil opsyen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkemungkinan diberi peluang sekali lagi untuk membuat pilihan menyertai skim pencen.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman berkata, perkara itu telah dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk dipertimbangkan supaya kakitangan terbabit mendapat kembali nikmat dalam opsyen pencen.

''CUEPACS menyedari nasib 43,000 kakitangan kerajaan yang memilih opsyen KWSP yang tidak mendapat tiga perkara berbanding mereka yang memilih opsyen pencen.
''Tiga perkara itu ialah tiada kad persaraan, tiada kemudahan perubatan selepas bersara dan tiada gratuiti. Mereka kini berhadapan kebimbangan," kata beliau kepada pemberita di sini malam tadi.

Omar ditemui pada Majlis Makan Malam CUEPACS Kebangsaan 2008 di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Katanya, CUEPACS amat berharap ia mendapat pertimbangan sewajarnya daripada kerajaan kerana terdapat jurang perbezaan antara pemegang opsyen pencen dan KWSP, lebih-lebih lagi dalam konteks selepas persaraan.

Pada tahun 1992 jelasnya, melalui Sistem Saraan Baru (SSB), kakitangan kerajaan diberi opsyen untuk memilih skim KWSP atau pencen.

''Pada tahun 2002 melalui Sistem Saraan Malaysia (SSM), opsyen itu terus kekal hingga sekarang. Saya percaya sewaktu mereka membuat opsyen dahulu, majikan tidak memberikan penjelasan yang tepat mengenai jumlah wang yang bakal diterima melalui KWSP dalam satu jumlah besar.

''Bagi saya nilai RM200,000 atau RM300,000 dahulu adalah besar. Tetapi hari ini, nilai tersebut kecil dan tidak cukup untuk menyara kehidupan mereka selepas bersara," kata beliau.
Omar berkata, CUEPACS akan merayu dan berharap keputusan mengenai perkara itu diputuskan selewat-lewatnya hujung tahun ini supaya nasib 43,000 kakitangan kerajaan mendapat pembelaan semula.

''Berilah mereka peluang sekali sahaja lagi untuk memilih opsyen pencen.
''Saya optimis dan yakin kerajaan cukup prihatin dengan kakitangan kerajaan termasuklah kenaikan pencen persaraan, menambah usia persaraan daripada 55 tahun kepada 58 dan kini 60 tahun," ujar beliau.

Thursday, January 1, 2009