Thursday, June 12, 2008

Laporan Berita Harian - 12 Jun 2008

Tiada lagi kenaikan harga minyak tahun ini: Abdullah

PUTRAJAYA: Harga petrol dan diesel tidak akan dinaikkan lagi pada tahun ini bagi mengurangkan bebanan rakyat, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, hari ini.

Perdana Menteri berkata, langkah itu dibuat walaupun harga minyak dunia dijangka berada pada paras yang tinggi selepas ini.

"Harga sekarang akan dikekalkan walaupun sekiranya harga minyak dunia mencecah AS$200 setong pada tahun ini," katanya pada persidangan akhbar di pejabatnya di sini.

Beliau berkata, kerajaan tidak menetapkan had siling harga pasaran minyak dunia di masa akan datang dalam mengekalkan jaminan kerajaan itu pada tahun ini.

Katanya, kerajaan sedar rakyat masih lagi sedang berusaha menyesuaikan diri dengan situasi harga minyak yang tinggi ketika ini.

Kerajaan mengumumkan kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen atau 41 peratus daripada RM1.92 kepada RM2.70 seliter manakala harga diesel sebanyak RM1 atau 63 peratus daripada RM1.58 kepada RM2.58 seliter, berkuatkuasa Khamis lalu.

Harga itu ialah harga di pam dengan kerajaan masih memberi subsidi sebanyak 30 sen bagi setiap liter petrol. Tanpa subsidi harga pasaran petrol tempatan ialah RM3 seliter.

Abdullah berkata harga minyak mentah yang tinggi ketika ini bermakna harga pasaran petrol juga telah meningkat kepada RM3.45 seliter.

“Sekiranya, kerajaan amalkan subsidi 30 sen seliter, harga petrol perlu diubah dari RM2.70 seliter kepada RM3.15 seliter pada Julai,” katanya.

Bagaimanapun, keadaan itu tidak akan berlaku ekoran pengumuman kerajaan itu setelah keputusan dibuat semasa mesyuarat Kabinet hari ini.

Ditanya sama ada keputusan kerajaan itu akan menjejaskan pendapatan kerajaan, Perdana Menteri berkata kerajaan berharap akan dapat pendapatan yang lebih daripada Petronas, syarikat minyak negara.

Menjawab soalan lain, Abdullah berkata harga minyak sekarang boleh diturunkan sekiranya harga minyak di pasaran dunia turun.

— Bernama

Laporan Utusan Malaysia Online - 12 Jun 2008


Gaji kakitangan awam dibayar dua kali sebulan mulai Ogos


PUTRAJAYA 11 Jun – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan gaji pegawai dan kakitangan kerajaan akan dibayar dalam dua ansuran sebulan mulai Ogos ini.

Perdana Menteri berkata, langkah itu diambil bagi membantu kakitangan awam menguruskan perbelanjaan dan aliran tunai isi rumah ekoran kesan kenaikan harga bahan api.

‘‘Separuh pertama gaji akan dibayar pada pertengahan bulan setiap bulan manakala separuh kedua akan dibayar pada hujung bulan.

‘‘Potongan-potongan seperti cukai pendapatan, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan sebagainya akan dilakukan pada hujung bulan,’’ kata Abdullah pada sidang akhbar di pejabatnya di sini.

Turut hadir ialah Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Menurut Perdana Menteri, langkah pembayaran gaji kakitangan awam dua kali sebulan itu diputuskan pada mesyuarat pasca Kabinet bersama pegawai-pegawai tinggi kerajaan.

‘‘Ia tidak dibincang dalam Kabinet tetapi dibincang dalam mesyuarat pasca Kabinet bersama pegawai tinggi kerajaan,’’ jelasnya.

Ditanya sama ada beliau menyarankan agar pihak swasta turut mencontohi tindakan tersebut, Abdullah berkata, langkah yang diambil itu adalah satu pendekatan yang positif.

Menurutnya, pembayaran gaji dua kali sebulan itu boleh membantu mengurangkan tekanan kewangan para pekerja.

‘‘Saya anggap ini satu pendekatan yang baik kerana ia membantu pekerja kita untuk uruskan aliran tunai isi rumah. Ini adalah penting,’’ jelasnya.